SELANGKAH
KE ARAH
KEBENARAN
(Isi rasa hati dan
pemikiran peribadi)
| Pendahuluan |
| Tentang Diri Saya |
| Berkongsi Pengetahuan |
| Tahukah Anda? |
| Muhasabah |
| . | PENDAHULUANAssalamualaikum wa RahmatuLlahi wa Barakatuh. Pelawat yang budiman, yang mudah-mudahan diredhai oleh ALlah. Selamat datang ke laman web yang tidak seberapa ini. Sebelum anda melangkah jauh ke dalam, biarlah saya terangkan serba sedikit tentang tujuan laman web ini disediakan. Harap anda dapat tunggu sebentar. Saya bukanlah seorang yang berpengetahuan mendalam tentang agama Islam. Kemungkinan anda juga seperti saya., lebih banyak meluangkan waktu dengan kawan, komputer, internet, wayang, TV, radio, lepak, suka berangan-angan, dan banyak lagi termasuklah melakukan perkara yang tidak sesuai pada pandangan orang-orang tua kita. Dengan kata lain, bukanlah seorang Islam yang boleh dijadikan 'role model' atau contoh. Walau apapun orang kata, saya tetap bersyukur dengan KEISLAMAN saya. Agama Islam yang ada pada diri kita adalah anugerah Allah yang tersangat berharga berbanding nikmat-nikmat yang lain. Saya sedar siapa diri saya, tapi selagi roh dikandung badan, Islam akan tetap saya pertahankan dan akan tetap dipegang walaupun Dajjal timbul kelak. InsyaAllah. Moga Allah merahmati kita semua dan melindungi kita daripada fitnah yang terbesar di dunia iaitu Dajjal. Tujuan utama laman web ini adalah menyampaikan kebenaran berkaitan dengan Islam yang, insyaAllah, boleh membuka hati-hati kita (kamu dan diri saya sendiri). Saya bukanlah berniat untuk membuka kaedah dakwah yang baru. Tidak sekali-kali. Dakwah sunnah adalah dakwah dari hati-ke-hati, mata-ke-mata. Namun, seperti juga orang lain, saya mengharapkan laman web ini dapat membawa keampunan, rahmat, perlindungan yang berkekalan dari Allah sbt. Diharapkan, anda juga dapat mendoakan kesejahteraan kepada hamba Allah yang kerdil ini. Rasullah s.a.w. pernah bersabda yang antara isi kandungannya menerangkan bahawa 'Doa seseorang yang ditujukan kepada saudara yang lain akan diperkenankan oleh Allah walau bagaimanapun keadaan seseorang itu.' Oleh itu, saya tersangat-sangat memohon pertolongan saudara/i, walau siapa pun anda, untuk menghadiahkan doa kesejahteraan kepada diri ini. Di bawah ini adalah contoh doa yang saya harap-harapkan. Islam membenarkan kita berdoa dalam bahasa kita sendiri asalkan ianya bermaksud yang baik-baik. Memang, ianya tidak semustajab doa Nabi atau orang-orang alim, tetapi Allah Maha Pendengar dan Maha Mengetahui segala isi hati kita. Saudara/i, sekali lagi saya memohon persetujuan saudara/i, doakanlah kepada diri ini. InsyaAllah saya pun akan mendoakan anda semua. "Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Ya Allah, lindungilah diriku, keluargaku, ahli-ahli keluargaku, semua umat Muhammand s.a.w daripada api neraka, fitnah Dajjal, kejahatan jin dan manusia, dan siksaan kubur. Lindungilah kami di bawah ArasyMu dan izinkanlah kami menerima shafaat daripada Nabi Muhammad s.a.w. serta memasuki syurga FirdausMu dengan RahmatMu. Sesungguhnya, walau sebagaimana banyakpun dosa kami, dengan keampunanMu maka terhapuslah ia. Dan, walaubagaimana banyak pun amalan kami, tanpa rahmatMu tiadalah kami melainkan kecelakaan. Oleh itu, ampunilah kami dan rahmatilah kami di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya, Engkau Maha Pengampun, Maha Pengasih, Maha Penyayang, dan Maha Kaya. Ya Allah, perkenankanlah juga doaku untuk saudara Islamku ini. Ampunilah, rahmatilah, kasihanilah dan berikanlah ketenangan jiwa kepada saudara Islamku ini. Selawat ke atas Nabi Muhammad dan kepada sahabat-sahabat Nabi serta keluarga Nabi. Amin ya rabbal alamin. La haula walah kuwata illabillahil adzhim." Alhamdulillah, terima kasih saudara/i. Nota : Janganlah saudara/i, memikirkan perkara di atas adalah suatu ajaran sesat. Saudara/i bolehlah merujuk kepada mana-mana kitab hadis yang sahih ataupun bertanyakan kepada ustaz-ustaz.
Disebabkan kedangkalan ilmu dan ditambah lagi dengan dosa-dosa yang pernah dilakukan, saya tidak mampu untuk bersua muka dengan orang lain untuk memperkatakan kebenaran. Setiap kali saya ingin mengatakan sesuatu kepada orang lain, yang berkaitan dengan agama, lidah saya akan kelu. Saya takut kepada bayang sendiri. Seolah-olah orang tersebut akan dapat membaca chaya zulmat (kejahatan) yang ada pada diri saya, melalui wajah atau cahaya mata. Ketahuilah bahawa seseorang yang sentiasa mentaati Allah akan mempunyai cahaya wajah yang menarik yang hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana untuk menerangkannya. Saya pernah bertemu dengan orang seperti itu. Apabila saya melihat orang itu, hati saya menjadi tenang dan sedih bercampur kehampaan. Hampa kerana saya bukanlah dalam golongan sepertinya. Sukar juga untuk melukiskan perasaan hati ini. InsyaAllah, anda juga akan bertemu orang sepertinya kelak. Saya berasa sangat malu kepada orang lain, kepada ibu bapa saya (mereka tidak tahu), diri saya sendiri (masih lagi..La haula wallah ku watahillabillah), dan Allah. Kadang-kadang ketika melaksanakan solat, hati saya akan meruntun kesedihan. Tapi hanya sebentar, hanya beberapa saat. Selepas itu, seperti kebiasaan, kelalaian bertapak di hati dan pemikiran. Sejak dua tahun kebelakangan ini, diri ini terasa beban yang berat. Saya tidak mampu untuk menghalang permainan akal yang sentiasa aktif dan seolah-olah kekal di dalam otak ini. Tetapi saya tidak pernah menceritakannya kepada orang lain, apatah lagi kepada ibu bapa. Namun, hari ini, 11 March 1998, merupakan satu langkah yang terlalu berani (rasanya) kepada diri saya, kerana akhirnya dapat meluahkan hampir sebahagian daripada pemikiran saya ke dalam helaian pendahuluan ini. Mungkin anda bertanya, apakah dosa yang telah saya lakukan. Saya tidak akan menceritakannya. pada pendapat saya, menceritakan maksiat yang dilakukan secara menyeluruh adalah mengaibkan dan boleh membawa kepada kebanggaan kepada maksiat tersebut. Cukuplah saya katakan dosa-dosa yang tidak boleh dilupakan. Nasihat saya, jangan membangga-banggakan dosa kita. Contohnya, janganlah sekali-kali kita berbangga kerana pandai meminum arak tanpa terasa mabuk. Ianya sangat ditegah di dalam Islam. Boleh membawa kepada laknat Allah. Nauzubillah. |
Laman web ini diuruskan secara peribadi oleh Duan
Tarikh terbitan pertama : 11-03-1998
Tarikh pengubahsuaian : 11-03-1998